Friday, 25 November 2011



sejauh mana kita meletakkan nilai sebuah persahabatan dalam diri kita? di mana letak duduk persahabatan dalam hati kita? sehingga bila rasa kasih itu akan terus ada dan bertapak dalam hati kita?
sebuah persahabatan sejati dan abadi sukar bertahan. nilai abadi itu kadang2 menyusut dibawa waktu yang berganjak. kala di sekolah rendah, mungkin rapatnya dengan orang lain. di sekolah menengah barangkali akrab dengan orang lain pula. terutama jika kawan baik di sekolah rendah tidak satu sekolah di alam menengah. dan di universiti mungkin rapat dengan orang lain pula. bertukar kawan baik. secara tidak langsung juga meramaikan sahabat yang kita ada. sukar sekali mahu berkawan sehingga ke hari tua, terutama apabila sudah berkeluarga dan tinggal berjauhan. keutamaan persahabatan kian menghilang. ada perkara lain yang perlu diberi tumpuan...kasih sayang sesama manusia inilah...akan hilang dibawa waktu. kadang-kadang bukan mahu kita tetapi keadaan melalui jalan yang begitu.

begitupun ada juga persahabatan yang kekal sehingga ke hari tua. saya menyaksikan sebuah kasih persahabatan yang sejati. dua wanita yang berkawan dari muda menuju ke usia emas. sudah takdir keduanya tiada jodoh. dan mereka tinggal bersama, saling berkasih sayang. sungguhlah kasih sayang Allah itu maha luas. mungkin tidak pada kasih sayang fitrah alam (perkahwinan) tetapi Allah tetap mengurniakan kasih sayang untuk saling berpaut antara mereka. nilai sebuah persahabatan yang berharga. tiada nilaian dapat menyamai hubungan kasih sayang itu.
semoga saya memperolehi nilai persahabatan yang demikian.. apapun biarlah kasih sayang kita kepada Allah yang mendahului di ruang hati kita. kerana itulah kasih sayang yang abadi. 

No comments:

Post a Comment