Wednesday 7 December 2011

sukarnya dimengertikan


sukar memahami dan sukar dimengertikan adalah dua perkataan yang sama ertinya. sebuah situasi yang bukan mudah dikendong mahupun digalas. umpama sakit2 bisa dan lenguh badan. duduk dan baring dalam keadaan macam mana pun, ruang selesa itu gagal diperolehi. hanya diri yang mengalami merasainya. orang hanya sekadar memandang. mungkin ada yang simpati atau ada langsung yang tidak berperasaan lantaran gagal memahami. walau memahami sukar juga mahu membantu kerana empunya diri gagal mengimbangi sebuah rasa yang sukar dan amat sakit itu..

sebuah kehidupan adalah warna-warni. serupa pelangi yang punyai tujuh warna. begitulah corak hidup ini. tetapi pelangi itu sangat cantik dengan tujuh warnanya. kehidupan ini tercorak dengan warna-warna yang adakalanya memilukan dan melukakan. ada warna kelabu yang suram. warna hitam yang menakutkan walau pada sesetengah orang @ benda, hitam itu unik dan menawan sekali. merah pekat yang dikaitkan dengan darah...itulah warna-warni hidup. yang tidak pernah sunyi dengan pelbagai cerita. setiap warna ada ceritanya yang tersendiri. setiap manusia ada perangai dan kisah yang tersendiri. pahit manis sebuah kehidupan. hitam putih sebuah ceritera hidup.

kasih sayang sebahagian warna warni hidup. kasih sayang itu serupa dengan ujian. di mana tarafnya tidak sama pada semua orang. ada orang bahagia dengan kasih sayang yang hanya sederhana. ada orang tersungkur dengan kasih sayang yang melimpah. ada orang lemas dengan lautan kasih yang tidak mampu dihirup sepenuhnya. memberi dan menerima kasih tidak sama tadahannya. mungkin kasih sayang yang dihulur adalah sebaldi tetapi dia yang menerima hanya mampu menadahnya dengan sebalang kecil sahaja. luka? tentulah itu yang dirasainya. kita manusia selalu berkata mampu berlapang dada dengan penolakan..redha dengan ketentuan yang tertulis. tetapi menelan pahitnya ubat yang menyembuhkan itu bukan mudah serupa menelan gula-gula yang enaknya rasanya. 

kadang-kadang sukar dimengertikan sebuah perasaan. empunya diri sendiri gagal meletakkannya di tempat yang tidak goyah. sebab perasaan itu sesuatu yang hidup. yang boleh berlari dan berjalan. kadang lariannya laju dan seketika kemudian perlahan seolah bertatih sahaja langkahnya. manusia sendiri gagal memahami dan mengimbangi. sering sahaja lain di mulut berbeza dengan tulisan hati. lalu apabila yang sepatutnya selaras itu tidak sekata, warna biru bertembung dengan hijau dan koko, lahirlah sebuah warna yang tidak tahu mahu dipanggil warna apa. cantik dan unik pada sesetengah orang. tetapi jelek dan langsung tidak menarik pada mata sesetengah orang. nyata, sukar mahu mengkompromi sebuah perasaan itu..natijahnya...ada hati yang terluka. ada jiwa yang menghela gelisah.

jalan keluarnya adalah saling bertolak-ansur, belajar memahami.paling utama adalah menghormati. menghormati pendirian masing-masing. memang sukar tetapi itulah jalan keluarnya. jika tetap berkeras, diri sendiri menelan luka. warna kelabu akan terus kelam jika kita tidak pernah mahu belajar memahami bahawa warna kelabu itu ada juga menariknya. lebih menarik daripada pelangi tujuh warna yang munculnya hanya setelah hujan reda. jadilah diri sendiri sebabnya sampai bila kita mahu berterusan menjadi orang lain demi menatang sebuah perasaan lain. benar kata bijak pandai, berterus-teranglah biarpun kebenaran itu menyakitkan. berani kerana benar....

semoga kita menghargai kelabu yang kelam kerana itu adalah sebahagian warna takdir. yang menjadi rencah sebuah kehidupan yang mematangkan sebuah kehidupan yang tidak pernah sepi daripada dugaan dan rintangan.

No comments:

Post a Comment