Friday 4 November 2011

pada redup wajah itu



pada redup wajahnya
tersimpan sejuta warna
sekian waktu menghirup usia 
di bumiNya
melakar warna bahagia
meredah kepahitan tidak terucap

bukan dipinta takdir berwarna kelabu
bukan mahunya warna pelangi sekejapan sahaja
namun takdir menguji
sebuah keimanan sekeping hati
dalam meniti usia memohon simpati
si emak mengambus jenazah anaknya
sukar mahu menerima kepergian yang abadi itu
lalu dia memintal kenangan
menyulam memori 
yang kini menjadi tugu sejarah
dan air mata mengalir lesu
mengepam pilu tidak tertahan
sakitnya perpisahan yang abadi ini
patah sudah sayap 
yang memudahkan dia 'terbang' selama ini

namun di sebalik pedih dan hiba
dia mengerah kesabaran
memohon ketabahan 
agar tidak terpesong langkah 
hanyut dalam kesedihan 
jangan sekali larut dalam kehilangan
redhalah pada takdirNya

dia masih mampu mengorak senyum
sesekali ketawa manis
masih ada sinar dalam sebuah kehidupan
yang teruji dengan garisan hidup

Tuhan menguji
pada hamba yang disayangi
 lambang kasih sayangnya kepada hambaNya
di sebalik ujian
melurus laluan ke syurga
onak duri kiri dan kanan
sebagai halangan

buat si nenek tua itu
semoga sentiasa tabah
menyelusuri hari demi hari
semoga rahmatMu ya Allah
selalu ada...buatnya...


No comments:

Post a Comment