Friday 17 February 2012

MENCARI YANG SEMPURNA




“HARAP dapat jumpa lagi dengan Elena.” Hariz berkata setelah sampai ke ruangan parkir. Matanya seakan tidak lepas memandang wajah Nora Elena. Wajah teman chatingnya itu menepati idaman hatinya. Wajah ala kecinaan dengan mata yang sedikit sepet. Mata itu sedikit juling, namun hatinya sudah berkenan dengan teman blind date yang bersua muka buat pertama kalinya setelah berkawan di ruangan laman sosial hampir tiga bulan.
          “Hmmm….” Ujar Nora Elena. Dia memandang kereta Proton Wira milik Hariz yang jelas lamanya usia kereta itu.
          “Saya nak jumpa Elena lagi. Kalau sudi, saya mahu panjangkan perkenalan ini. Saya selesa sangat selama berchating dengan Elena. Bertemu secara berdepan, rasa suka itu semakin lebih.” Hariz berterus-terang tanpa berselindung mengenai perasaannya. Pertama kali bersua tadi, matanya tertawan dengan wajah lembut Elena. Dari mata terus jatuh hati.
          Nora Elena hanya senyum. Tidak angguk sebagai mengiakan mahupun menggeleng sebagai penolakan. “Saya balik dulu,” pintanya.
          “Jumpa lagi, Elena.” Hariz berkata lagi. Nadanya bersungguh. Mengharapkan pertemuan dengan gadis itu lagi. Mula merangka mahu memanjangkan rasa sukanya kepada ikatan yang lebih bermakna.
          Nora Elena senyum lagi. Izzah, teman yang menemani Nora Elena bertemu dengan Hariz, membalas senyuman lelaki itu dengan ikhlas. “Insya Allah.”
          “Harap dapat jumpa Elena lagi,” kata Hariz.
          Nora Elena menguit Izzah. Melontar senyum dan berlalu dari ruangan parkir itu.
          Di dalam kereta, Izzah bertanya. “Kau tak berkenan ya?”
          “Kenapa tanya gitu?” Nora Elena menyoal.
          Izzah ketawa kecil. “Tengok lagak kau pun aku tahu. Hariz tu nampak baik, Elena. Dia menjaga tertib dan adabnya dengan kita. Malah tidak silu bagi hint nak lebihkan hubungan dengan kau. Dia macam nak melamar kau.”
          “Mudahnya kau mengukur lelaki melalui pandangan pertama,” sinis Nora Elena berkata.
          “Bukanlah gitu maksudnya. Dah ramai aku temankan kau blind date, hanya kali ini aku beri pandangan. Bermakna Hariz tu bagus. Sesuai dengan kau.”
          “Aku kurang berkenanlah….”
          “Kenapa?”
          “Dia tu lagi rendah dari akulah. Tak sukalah aku lelaki rendah dari aku.”
          “Ya Allah, itu yang kau jadikan sebab. Ramai yang kahwin suami rendah daripada isteri. Utamanya adalah serasi. Kan selama ni kau cerita kau suka dan gembira bila chating dengan mamat tu. Dia pun dah syok kat kau.”
          Sorrylah, aku memang tak boleh nak berkrompomi dalam hal ni. Aku tak minat dengan lelaki yang tidak tinggi. Nampak sangat aku lebih tinggi dari dia.”
          Izzah tidak berkata apa-apa lagi. Dia sangat kenal Nora Elena. Seorang yang tetap pendirian kononnya.

DUA bulan kemudian di majlis perkahwinan Izzah dan Hariz, Nora Elena jatuh hati kepada lelaki yang mengapit Hariz. Lelaki itu adalah Zainal Ariff. Melalui Izzah, Hariz sampaikan salam Nora Elena. Salam bersambut dan perkenalan bermula.

Izzah hanya memerhati Nora Elena yang berwajah sayu. Nora Elena sedang kecewa kerana Zainal Ariff menolak cintanya. Zainal tidak berkenankan perempuan yang terlalu tinggi. Dia lebih berminat pada perempuan yang bertubuh kecil. Arghh….mengarut semuanya. Hati Nora Elena menempik. Bukankah apabila suka dan sayang, segalanya nampak bagus? Kekurangan akan ditutupi oleh cinta.
          “Tu maknanya cinta Zainal tak ikhlas. Cinta tak bersyarat, Elena. Serupa aku dan Hariz yang redha menerima kelemahan masing. Aku terima dia walaupun dia asalnya sukakan kau. Tapi ikhlasnya dia datang melamar aku sebagai isteri, aku terima. Ikhlas itulah yang sukar dicari, Elena. Ikhlas Hariz yang telah kau tolak. Ikhlas Zainal bukan pada kau.”
          Nora Elena diam. Berasa sangat kesal dan malu pada diri sendiri. Terlalu memilih keindahan mata, akhirnya dia luka dan kecewa. Mungkinkah dia akan menemui lagi lelaki seluhur Hariz? Dalam dunia lelaki-lelaki berkualiti kian pupus di muka bumi ini, amat sukar mahu mencari lelaki yang bagus imannya. Lelaki yang ikhlas menghulur lamaran. Bukan lelaki yang main-main. Betapa bertuahnya Izzah.
          “Aku kesal. Aku silap dalam menilai pasangan yang harus aku dambakan. Aku bodoh….aku kesal lukakan Hariz. Inilah agaknya yang Hariz rasai ketika aku tolak cintanya. Kejamkan aku, Izzah?” tangis Nora Elena.
          “Sabarlah, Elena. Apa yang jadi adalah iktibar. Untuk kita lebih bijak membuat keputusan di masa akan datang. Kesempurnaan itu tiada pada sesiapa pun melain hanya Allah. Sempurnanya manusia adalah apabila kita menerima ketidaksempurnaan itu seadanya. Di situlah letaknya bahagia. Bukan jodoh kau dengan Hariz. Juga bukan dengan Zainal. Pasti akan ada yang lebih baik untuk kau. Lagi pula, kalau kau jadi dengan Hariz, aku nak kahwin dengan siapa ya?” Izzah berlawak. Mahu kembalikan senyuman Nora Elena yang kian hilang akhir-akhir ini.
          “Apa yang jadi hanyalah sebab untuk  kau lebih berfikir. Jodoh kau bukan dengan Hariz. Banyak-banyakkan berdoa… minta yang terbaik dri Allah.”
          Nora Elena mengangguk. Air mata mengalir lesu di pipinya.

LIMA bulan kemudian. Izzah yang sedang hamil dipimpin Nora Elena ke pelaminnya yang cantik dan mewah. Mahu Nora Elena bergambar dengannya di pelamin.
          “Menyusahkan aku sahaja kau ni. Hari ni hari bahagia kau tapi kena layan aku yang mak buyung ni.”
          “Tak ada susahnya. Aku nak kau bergambar kenangan di pelamin dengan aku. Pelamin ni aku pilih sebab kau. Kau kan suka warna jingga. Kau kawan yang terlalu baik. Yang selalu sokong aku.” Nora Elena sebak. Izzah terlalu istimewa buatnya. Kawan yang paling baik. Sahabat yang akan dikenangnya dunia dan akhirat.
          “Tahniah, Elena. Aku doakan rumah tangga kau dalam rahmat Allah.”
          “Terima kasih. Aku minta suami aku ambilkan gambar kita semua.” Nora Elena menuju ke ruang tengah. Di mana suaminya sedang berbual dengan adik-adik Nora Elena. Barangkali Seth Tan sudah penat. Majlis bersanding jam 3 petang tadi. Kini sudah jam 6 petang Nora Elena masih mahu bergambar. Suami Elena itu sudah bertukar pakaian. Tidak lagi memakai ‘seragam’ pengantin.
          “Abang ambilkan gambar Elena dengan kawan-kawan.” Nora Elena serahkan kamera digital kepada suaminya. Kacak dan lebih tinggi daripada Nora Elena. Tertunai juga hasrat Nora Elena mahukan suami yang tinggi daripadanya.
          Sewaktu Seth Tan menyambut kamera digital daripada isterinya, mata Izzah menangkap jari-jemari Seth Tan yang tidak cukup sifat. Seth Tan tiada tiga batang jari kirinya. Mata Izzah bagai ditarik melihat kaki Seth Tan. Jari-jari kaki lelaki itu juga tidak cukup sifat. Patutlah jalannya sedikit tidak teratur.
          Subhanallah! Hati Izzah berkata spontan. Maha Suci Allah…sesungguhnya tiada yang sempurna di dunia ini. Hanya Allah yang maha esa memiliki semua kesempurnaan. Allah tidak memberi apa yang kita mahu tetapi DIA memberikan apa yang kita perlukan.
          Nora Elena seakan memahami pandangan mata Izzah . Dipautnya bahu Izzah. “Aku terima dia dengan penuh kesyukuran. Allah berikan dia untuk melengkapi hidup aku. Kekurangannya adalah kesempurnaan aku. Aku sayangkan dia sangat-sangat.”
          Izzah senyum ikhlas. “Alhamdulillah,” balasnya.

Jika mencari kesempurnaan daripada seseorang demi melengkapi hidup, sampai sudah tidak akan bertemu kerana sempurna itu hanya milik Allah. Semua hambaNya di muka bumi ini tiada yang sempurna. Kita selalu terpesona melihat kebahagiaan orang. suaminya kacak dan isterinya jelita, tetapi siapa tahu masalah mereka? Mereka pula tentunya melihat kita yang serba kurang ini penuh gembira. Mereka barangkalinya mahukan kegembiraan seperti kita. Rumusannya tiada siapa pun yang sempurna. Redhalah pada ketentuan takdir. Terimalah segalanya dengan penuh kesyukuran dan hati yang terbuka. Buatlah pilihan yang bijak berlandas iman dan takwa kita kepadaNya. Bukan memandang sempurnaan luaran yang tidak membawa manfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat kita.

No comments:

Post a Comment