Sunday 26 February 2012

BIARLAH BULAN BICARA SENDIRI

Duhai bulan
ingin aku berbicara denganmu
biarpun dikau jauh beribu-ribu jarak
mungkin aku serupa si pungguk
mengharap sapaan darimu
menanti dan menunggu
sebuah impian yang tidak berpenghujung

Kiranya kau mendengar
suara hati sang pungguk
yang mendambakan kasihmu
yang mengharap kuntuman rindunya
kau petik dan alunkan
dalam bicara sebuah perasaan

Ingin sekali dinyatakan
suara hati yang tidak terucap
sebuah rasa yang bersalut malu
untuk diberikan kepadamu
agar selalu dibelai
dalam dakapan waktu
kerana sebuah ketulusan ini
telah kusimpankan khas buatmu

Mungkin tidak kesampaian
hanya sebuah mimpi
sekadar sebuah angan
impian yang tidak mampu berlari
mahu ke puncak kenyataan
kerana kita dalam dunia yang berbeza

Kau bulan yang kaku
indah hanya sebuah perhiasan
sedangkan perasaan dan hatimu
tiada berjiwa
sedang aku punya hati yang berkeping-keping
hampir retak dan terbelah
dek harapan dan mimpi
yang tidak tercapai tangan

Duhai bulan
kau sekadar sebuah mimpi
yang aku harapkan
tika dikau menggantikan
kerlipan bintang di malam hari…
yang munculnya sekejapan cuma
mencuri sekeping hati milik aku
kemudian kau menyelinap
menyembunyikan diri

Dan aku nanar mencari
bayang-bayangmu


nur kasih 27022012
 






gambar sekadar hiasan. suka sgt tengok gambar Ana Rafali menjadi pengantin. manis sgt dia bertudung
:)






                          
















No comments:

Post a Comment